Sunday, June 14, 2015

Hidup & Cabaran




KEHIDUPAN pasti ada cabaran, suka dan duka. Tidak bernama kehidupan tanpa cabaran, ia ibarat warna-warni yang menghias diri.

Namun, seberat mana masalah yang menimpa, jangan mudah berputus asa. Rahmat dan nikmat ALLAH SWT sentiasa meliputi kita. Sebenarnya tujuan ALLAH SWT menyakitkan adalah bagi menyembuhkan, begitu juga ALLAH SWT menyempitkan adalah untuk meluaskan. Hebatnya perancangan ALLAH SWT bagi menguji hamba-Nya.

Ketandusan hati adalah penyakit yang amat ketara dalam masyarakat kita hari ini. Ramai susah hati, gelisah, gundah-gulana walaupun memiliki segala-galanya, harta dan kuasa. Hakikatnya, kebahagiaan dan ketenangan bukan terletak kepada kemewahan, harta benda atau kuasa kerana manusia yang kaya-raya hidup tidak senang, takut, runsing dan tidak tenteram. Mengapa?

Apabila hati dikuasai iman dan takwa, akan lahirlah kebaikan. Namun, apabila hati dikuasai nafsu, amal yang muncul adalah keburukan. Tidak hairanlah apabila seseorang itu mengalami kegelisahan akan melakukan apa saja di luar batasan akal manusia. Ia berlaku kerana gagal mengawal perasaan serta tidak melihat ALLAH SWT sebagai Yang Maha Kuasa dan Maha Esa. Demikian juga halnya dengan penyakit seperti dengki, dendam dan iri hati yang semuanya berpunca daripada kegelisahan dan tiada ketenangan dalam hati mereka.

Pelbagai usaha yang dilakukan dalam mencari ketenangan jiwa. Ada antara mereka yang mencari ketenangan jiwa itu dengan melancong, bersukan, yoga atau melukis.

Ada juga memilih jalan 'songsang' seperti berhibur di kelab malam, minum arak atau mengambil dadah.

Apabila manusia berasakan ALLAH SWT begitu dekat dengannya walaupun dibebani dengan masalah, mereka akan segera mendapatkan ketenangan dengan membaca al-Quran, berzikir, bersolat dan melihat keindahan alam ciptaan ALLAH SWT. Inilah ubat ketenangan.

Nabi Muhammad SAW bersabda, sembahyang itu tempat ketenangan jiwa dan kesenangan hatinya. Jadi, orang yang mengerjakan sembahyang lima kali sehari semalam seolah-olah mereka mengingati ALLAH SWT siang, malam, pagi dan petang.

Dengan bersembahyang, hati terasa sedang mengadu serta merintih kepada ALLAH SWT. Hal berkenaan dijelaskan Rasulullah SAW, bahawa dengan sembahyang, hati orang beriman dan bertakwa sudah terhibur.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Di antara kesenangan dunia yang aku sukai ialah wanita, wangi-wangian dan penenang hatiku adalah sembahyang". (Hadis riwayat Al-Nasa'ei).

Itulah bezanya orang yang bersembahyang dengan orang yang meninggalkannya. Maka jangan sesekali kita rasa berat mengerjakan solat kerana ia ternyata memberikan banyak manfaat.

Dalam mencari ketenangan, seseorang perlu berpandukan syarak supaya ia tidak jauh tersasar. Ketenangan yang dicari dengan berseronok hanyalah bersifat sementara.

Orang yang berada dalam keadaan tidak tenang akan sentiasa bersedih, muram serta susah hatinya. Maka, kita perlu mengingati ALLAH SWT pada setiap masa dan memohon taubat kepadanya.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya, ALLAH SWT menyukai orang yang bertaubat dan mengasihi orang yang bersuci" (Surah al-Baqarah ayat 222).

Hanya dengan bersyukur atas nikmat yang diberi kita berasa redha dan lega atas cabaran yang sedang di hadapi. Taati perintah ALLAH SWT, perhatikan kebesaran ALLAH SWT, pasti hati anda tenang dan bahagia walaupun menghadapi cabaran yang bergelora.

Ustaz Mohd Ridwan
Motivator
RAS Training & Consultancy

No comments:

Post a Comment